INNOVATION

PRODUK INOVASI KAUNSELING PELBAGAI BUDAYA

CAL-QUEST

CAL-QUEST dapat dilihat melalui kebolehgunaannya yang tinggi dalam konteks sebenar sesi kaunseling. Produk ini direka bentuk secara praktikal dan sistematik bagi membantu kaunselor melaksanakan sesi kaunseling dengan lebih terancang, berfokus dan berkesan. Cal-Quest sesuai digunakan dalam pelbagai setting kaunseling seperti kaunseling individu, kaunseling kelompok, kaunseling di sekolah mahupun institusi pengajian tinggi.

CounselxHunt

Permainan ini menggunakan pelan sekolah sebagai papan permainan simbolik yang dekat dengan pengalaman harian murid. Setiap stesen mewakili ruang sebenar di sekolah dan disertakan dengan kad bukti perjalanan untuk murid mendapatkan cop pada setiap stesen. Hal ini membolehkan murid terlibat mengikut stesen yang ditetapkan sebagai bukti. Pendekatan ini bersifat tidak memaksa, tidak melabel dan menghormati perbezaan latar belakang budaya, gaya komunikasi serta ekspresi emosi murid

SEADIP

Satu inovasi yang memudahkan murid membuat laporan kes buli pada bila-bila masa sahaja kejadian berlaku. Murid boleh memilih kategori buli serta guru kaunseling yang ingin dirujuk. Setiap laporan yang dihantar akan direkod secara sistematik dan dipaparkan secara terus kepada guru kaunseling, sekali gus membolehkan tindakan diambil dengan lebih pantas dan berkesan.

EmoodVerse​

Emoodverse dibangunkan sebagai satu medium kaunseling yang memberi ruang kepada klien untuk meluahkan pemikiran negatif secara simbolik dan berstruktur, sebelum dibimbing ke arah penstrukturan semula pemikiran yang lebih positif. Inovasi ini direka bentuk bagi mengurangkan kebergantungan kepada interaksi verbal secara langsung, sekali gus membantu klien yang kurang selesa bercakap atau sukar mengenal pasti emosi mereka. Melalui pendekatan ini, klien dapat mengekspresikan konflik dalaman mereka secara lebih selamat, kreatif dan tidak mengancam, seterusnya memudahkan proses refleksi dan perubahan kognitif.

RUANG LUAHAN PENEROKAAN BERASASKAN RESPECTFUL

RUANG LUAHAN PENEROKAAN BERASASKAN RESPECTFUL ini diperkenalkan bagi menggalakkan klien meluahkan perasaan serta pengalaman diri dalam suasana yang selamat tanpa rasa dihakimi. Dalam masa yang sama, ia menyediakan medium kaunseling yang mesra budaya dengan menghormati kepelbagaian latar belakang klien berasaskan model RESPECTFUL. Penggunaan pendekatan ini juga menyokong keberkesanan sesi kaunseling sama ada secara individu, kelompok mahupun melalui bengkel kesedaran kendiri, khususnya melalui aplikasi permainan kad terapeutik. Secara tidak langsung, klien dapat meningkatkan kesedaran kendiri terhadap pengalaman, keperluan dan makna diri dengan lebih mendalam.

EXIT SMART: NOT AN END JUST A SHIFT

EXIT SMART sangat fleksibel dan boleh diaplikasikan dalam pelbagai konteks kaunseling termasuk kaunseling individu, kaunseling kelompok, kaunseling keluarga, institusi pengajian tinggi serta program intervensi komuniti. Struktur board game yang mudah difahami membolehkan kaunselor menyesuaikan soalan, simbol dan perbincangan mengikut umur, tahap perkembangan dan isu klien

UniCulture

UniCulture ini dirangka bagi meningkatkan pengetahuan murid tentang kepelbagaian budaya di Malaysia di samping mewujudkan hubungan sosial yang lebih harmoni dalam kalangan murid pelbagai etnik. Melalui pendekatan aktiviti permainan yang interaktif, program ini turut bertujuan meningkatkan penglibatan murid dalam sesi kaunseling. Dalam masa yang sama, nilai perpaduan sekolah serta prinsip Rukun Negara dapat disokong melalui pembelajaran yang menyeronokkan. Secara keseluruhannya, program ini diharapkan dapat menjadikan sesi PdP dan kaunseling lebih kreatif, menarik dan berkesan.